1st time posting blog





Hari ni nur pertama kali tulis blog jd terus terang tak tahu nak tulis apa.Jadi nur terfikir untuk postkan satu kisah semoga jadi teladan utk kita semua.Jom muhasabah diri sama-sama ke arah yang lebih baik.

Beliau mati kerana takutkan Allah


Pada zaman pemerintahan Sayidina Umar Al-Khattab, tinggal seorang pemuda yang tinggi cintanya dan takwanya kepada Allah SWT. Beliau seorang yang zuhud pada kehidupan dunia yang fana kerana mencari cinta sebenar iaitu cinta Allah SWT, Tuhan yang Maha Pencipta. Hatinya dikalungkan pada rumah Allah SWT. Tiap masa dan ketika, jiwanya meronta-ronta untuk pergi beriktikaf dan berjemaah di rumah-Nya.

Setiap hari beliau akan melalui beberapa rumah dalam perjalanannya ke masjid dan salah sebuah rumah itu didiami oleh seorang gadis perawan. Siapa sangka dia jatuh hati kepada lelaki budiman itu tadi. Setiap hari dia akan mengintai pemuda itu dari balik tirai jendela apabila pemuda itu melintasi halaman rumahnya untuk ke masjid.

Pada suatu hari, tiada siapa di rumah gadis itu. Kebetulan pemuda itu seperti biasanya melalui kawasan tersebut untuk pergi ke masjid. Gadis itu mengambil kesempatan untuk menggoda pemuda itu. Ketika melintasi rumah tersebut, pemuda itu terlihat gadis itu mengenakan pakaian cantik-cantik dan memanggil pemuda itu masuk ke dalam rumahnya. Dia menggoda sepenuh dayanya supaya pemuda itu tertewas dan masuk bersama ke dalam rumahnya. Lalu pemuda itu pun terikut masuk atas godaan gadis perawan itu.

Semasa berada di pintu rumah gadis itu, sewaktu hendak melangkah, tiba-tiba akalnya teringat sesuatu. Hatinya membisik sesuatu, beliau teringat akan sepotong firman Allah SWT:
"Sesungguhnya apabila orang-orang yang bertakwa ditimpa waswas daripada syaitan, mereka ingat kepada Allah SWT, maka ketika itu juga mereka melihat kesalahan-kesalahannya..." (Al-A'raf:201)

Pada ketika itu juga tubuhnya terketar-ketar, wajahnya bertukar pucat dan timbul ketakutan yang amat dahsyat. Sejurus itu, beliau tersungkur pengsan di rumah gadis itu. Gadis itu yang dalam kebingungan terus memanggil orang ramai lalu menghantar anak muda itu pulang ke rumahnya.

Setibanya di rumah, ayah pemuda itu berasa hairan. Apa yang berlaku kepada anaknya? Bukankah sebentar tadi anaknya mahu pergi ke masjid? Mengapa pula dia pengsan lalu dihantar pulang? Malah turut serta seorang perempuan. Lalu si ayah mengubati anaknya itu. Sebaik beliau sedar ayahnya bertanya, "Wahai anakku, ceritakan apa yang telah berlaku padamu?"

Dengan wajah yang pucat dan nafas yang berombak-ombak, si anak tadi bercerita segalanya dari awal sehinggalah ketika dia jatuh pengsan. Ayahnya bertanya, "Ayat apakah yang dikau teringat ketika itu wahai anakku?"

Sebaik beliau mahu melafazkan semula ayat 201 surah Al-A'raf itu, hatinya kembali berdebar dan tubuhnya bergetar kerana ketakutan yang amat dahsyat kepada Allah SWT. Belum sempat beliau menghabiskan bacaan ayat itu, beliau jatuh pengsan sekali lagi. Kali ini apabila diperiksa oleh si ayah, rupa-rupanya anaknya itu sudah tiada lagi. Dia telah pergi menghadap Ilahi.

Kematian pemuda beriman itu menjadi buah mulut orang ramai sehinggalah sampai ke pengetahuan khalifah ketika itu. Lalu Sayidina Umar berangkat menuju ke rumah pemuda itu dan bertanya kepada si ayah apa yang telah berlaku. Ayah kepada pemuda itu menceritakan segalanya kepada Sayidina Umar. "Anak mudamu ini meninggal dunia kerana teringatkan ayat Ilahi pada saat imannya diuji?" soal Sayidina Umar.

Si ayah mengangguk. Kemudian Sayidina Umar mengajak ayah pemuda itu beserta orang ramai yang berada di situ untuk ke kubur beliau. Sayidina Umar menghampiri kubur itu dan meletakkan tangannya ke tanah lalu berkata, "Wahai pemuda, sesungguhnya di dalam Al-Quran Allah SWT telah berfirman, 'Dan bagi orang yang takut akan saat menghadap Tuhannya ada dua syurga (Ar-Rahman: ayat 46). Sekarang katakan padaku, adakah engkau sedang menikmatinya?"

Lalu tiba-tiba keluar suatu suara dari kubur anak muda itu. Dia menyahut, "Benar, dan sekarang aku sedang menikmati dua syurga itu."

Duhai dirimu, telah nyatalah kepada kita daripada kisah ini bahawa betapa tingginya darjat manusia yang teguh cintanya kepada Ilahi. Biarpun digoda si gadis perawan, hatinya masih setia pada Tuhan. Malah pada saat hampir terjerumus ke lembah binasa, hatinya yang bertakwa ynng menyala-nyala cinta kepada Tuhannya, mengingatkan dirinya tentang dosa. Lalu jiwa yang kenal pada Allah SWT itu tersungkur pengsan, malah mati kerana takutkan Allah SWT. Lantas bagaimana pula hatiku dengan hatimu? Setiap kali kita diuji, setiap kali kita melakukan kesalahan, berapa kali kita teringatkan Tuhan? Adakah ia membawa gementar di dalam hati sehingga pengsan? Atau sekadar lintasan hati yang dikau tidak perasan? Tanyakan pada hatimu, adakah hatimu berada pada tahap hati pemuda tadi yang mana hatinya tersemat nama Rabbi?

-Siapa Allah di hatimu?-

Comments

Popular posts from this blog

New collection to my teddy

Muhasabah diri